Pilihan Raya Umum Ke-13: Perubahan Budaya Politik Malaysia dan Krisis Legitimasi Moral Barisan Nasional The 13th General Elections: Changes in Malaysian Political Culture and Barisan Nasional's Crisis of Moral Legitimacy
Main Article Content
Abstract
Artikel ini cuba menjawab, di sebalik perbelanjaan besar-besaran yang disifatkan sebagai pilihan raya paling mahal dalam sejarah dan penggunaan imej budaya popular oleh Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, parti pimpinan Najib Razak telah kehilangan undi popular dengan prestasi yang lebih buruk berbanding 2008. Bagi memahami prestasi buruk ini, artikel ini mencadangkan satu analisis yang melangkaui pergelutan di sekitar kertas undi sahaja. Analisis keputusan PRU13 ini harus dibaca bersama perkembangan 40 tahun terakhir yang berlaku di negara ini di mana perubahan struktur ekonomi, sosial dan budaya telah memberi kesan besar terhadap politik. Kemudian gerakan sosial baru yang berlaku dalam 15 tahun terakhir secara perlahan telah membina ingatan bersama (collective memory) dua generasi yang membentuk identiti budaya yang baru. BN yang menyedari akan perubahan ini cuba untuk menyesuaikan diri dengan melancarkan kempen yang memanfaatkan budaya popular yang mewakili kelompok ini – Twitter, Facebook, Youtube, konsert, telefon pintar – namun budaya popular bukan hanya soal bentuk (forms) tetapi juga hubungan kuasa dan perlawanan (relations of power and resistance). Hubungan kuasa ini membentuk makna dan memberi kesan kepada legitimasi moral. Maka, artikel ini juga akan memajukan satu analisis bagi menjawab, meskipun BN menyedari perubahan budaya politik ini dan melakukan penyesuaian dengan mensasarkan kelompok muda dalam kempennya, tetapi masih lagi gagal memenangi hati pengundi, khasnya golongan muda.
Article Details

This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.