Pembangunan Karakter Kepimpinan Professional dalam Kalangan Angkatan Tentera Malaysia

Main Article Content

Nor Nazimi Mohd Mustaffa
Amnah Saayah Ismail
Noor Azmi Mohd Zainol

Abstract

Artikel ini menghuraikan idea mengenai kepimpinan dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia sebagai responden kajian ini. Dalam ketenteraan, pembentukan watak pemimpin memerlukan pengubahsuaian identiti seseorang yang pastinya sukar untuk diterapkan. Pelbagai program pembangunan kepimpinan telah direka dan dilaksanakan oleh pentadbir organisasi ketenteraan negara untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti, cekap dan berkesan. Pemimpin yang dihasilkan perlu mempunyai karakter kepimpinan yang kuat dalam menjalankan tugas. Namun begitu, peningkatan kes salah laku dalam kalangan anggota tentera menggambarkan wujudnya krisis dalaman dalam kalangan mereka. Hal ini telah memberi kesan negatif terhadap usaha untuk melahirkan bakal pemimpin yang memiliki karakter kepimpinan profesional akibat terpalit dengan krisis salah laku. Justeru, pembangunan karakter kepimpinan perlu mengambil kira keseluruhan aspek dalam kehidupan seorang manusia. Objektif kajian ini adalah untuk mencadangkan model pembangunan karakter kepimpinan profesional dalam kalangan ATM. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif bagi menjawab objektif kajian. Pendekatan yang digunakan ialah temu bual bersama kumpulan berfokus dan pengedaran borang soal selidik. Pendekatan tematik digunakan dengan membahagikan analisis kepada empat tema iaitu kepimpinan profesional, kandungan program, peranan jurulatih dan sokongan pengurusan. Seramai dua puluh lima responden yang terdiri daripada pegawai, jurulatih dan platun dalam kalangan ATM terlibat dalam temu bual, manakala seramai 300 orang responden dalam kalangan anggota tentera pelbagai peringkat terlibat menjawab soal selidik. Perisian SmartPLS digunakan bagi tujuan analisis data. Hasil kajian menunjukkan tiga elemen utama yang terdiri daripada kandungan kursus, peranan jurulatih dan sokongan pihak pengurusan merupakan faktor penting yang mempengaruhi anggota tentera dalam memberi komitmen yang positif kepada organisasi. Komitmen positif terhadap organisasi inilah yang dipengaruhi oleh kepimpinan profesional yang dilatih melalui program pembangunan kepimpinan dalam organisasi ketenteraan. Justeru, model ini bermanfaat kepada Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Jabatan Infantri serta Kementerian Pertahanan Malaysia dalam menambah baik sistem latihan secara holistik untuk anggota tentera di Malaysia.

Article Details

How to Cite
Mohd Mustaffa, Nor Nazimi, Amnah Saayah Ismail, and Noor Azmi Mohd Zainol. 2026. “Pembangunan Karakter Kepimpinan Professional Dalam Kalangan Angkatan Tentera Malaysia”. Kajian Malaysia 44 (1): 261–285. https://doi.org/10.21315/km2026.44.1.12.
Section
Articles