Manfaat Sinergi Penggunaan Sirih dan Pinang dalam Perubatan Tradisional: Analisis Terhadap Manuskrip Perubatan Melayu Terpilih
Main Article Content
Abstract
Manuskrip perubatan Melayu lama merekodkan kearifan lokal berkenaan ilmu sains kesihatan. Artikel ini merupakan salah satu rujukan yang berwibawa dalam memahami doktrin perubatan Melayu. Sirih (Piper betle L.) dan pinang (Areca catechu L.) merupakan antara gandingan materia medika yang digunakan untuk merawat penyakit manusia sejak zaman berzaman. Pada zaman yang serba moden ini, masyarakat Melayu kurang mengenali perubatan sirih dan pinang yang dipraktikkan oleh sesetengah masyarakat Melayu serta ahli-ahli perubatan Melayu lama yang arif dalam perubatan ini. Maka diharapkan dengan penulisan makalah ini, masyarakat Malaysia akan lebih cakna tentang nilai perubatan yang terdapat pada tumbuhan sirih dan pinang. Makalah ini akan membincangkan jenis-jenis penyakit dan kaedah rawatan yang menggunakan sinergi sirih dan pinang berdasarkan Kitab Tib yang telah ditransliterasi iaitu Kitab Tib MSS 3126, Kitab Tib MSS 2999 dan Kitab Tib Muzium Terengganu. Ketiga-tiga buah Kitab Tib tersebut dipilih berdasarkan penggunaan formulasi sinergi sirih dan pinang yang berbeza bagi setiap penyakit. Kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan sumber primer berpaksikan ketiga-tiga buah Kitab Tib tersebut. Melalui penelitian tersebut, terdapat pelbagai jenis penyakit yang dirawat dengan menggunakan gandingan sirih dan pinang serta materia medika yang lain. Antara penyakit tersebut termasuklah batuk, sakit ulu hati, demam, patah tulang, kayap dan beberapa masalah kesihatan yang telah menjadi norma dalam masyarakat kita pada hari ini. Oleh hal yang demikian, kajian-kajian saintifik perlu dirancakkan dan diuar-uarkan lagi agar keyakinan masyarakat moden terhadap perubatan sirih dan pinang dapat dibentuk.
Article Details

This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.