Dari Rusuhan Kaum ke COVID-19: Evolusi Peranan Majlis Keselamatan Negara di Malaysia dalam Menangani Krisis Negara
Main Article Content
Abstract
Struktur keselamatan negara mengalami satu evolusi perubahan yang besar dengan perkembangan sektor kesihatan kini telah menjadi sebahagian daripada isu keselamatan negara. Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan agensi penyelaras utama yang mengendalikan isu-isu keselamatan negara. Mengimbas kembali sejarah penubuhan MKN yang mula ditubuhkan pada 16 Mei 1969 sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) rentetan berlakunya peristiwa perbalahan kaum pada 13 Mei 1969. MAGERAN ditubuhkan bertujuan untuk meningkatkan keselamatan awam dan pertahanan negara. MAGERAN kemudiannya digantikan dengan MKN pada 23 Februari 1971 untuk menyelaraskan dasar yang berkaitan dengan keselamatan negara dan memberi arahan mengenai keselamatan. Dengan peredaran masa dan ancaman keselamatan kontemporari yang semakin berkembang dan pelbagai mengikut era, fungsi dan peranan MKN telah diperluas. Kini, dengan penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia yang telah mengancam keselamatan negara serta menjadi isu keselamatan utama, MKN telah diberi mandat sebagai agensi penyelaras dalam menangani pandemik COVID-19. Artikel ini akan menerangkan tentang perkembangan dan evolusi fungsi dan peranan MKN dalam mengendalikan isu keselamatan negara bermula dari penubuhannya sebagai MAGERAN pada tahun 1969 sehingga tahun 2023. Hasil kajian mendapati bahawa MKN berjaya menggalas tanggungjawab yang diberikan, namun perlu melakukan perubahan atau reformasi bagi menangani cabaran dan kelemahan yang wujud.
Article Details

This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.