Peranan Persekitaran Sosial dalam Membentuk Tema Penulisan Mahmood Zuhdi dalam Majalah Pengasuh
Main Article Content
Abstract
Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid adalah seorang tokoh fiqh yang dihormati di Malaysia, yang memberi sumbangan besar kepada kerajaan dan sektor korporat, selain terkenal dengan gagasan konsep Fiqh Malaysia. Sebagai seorang penulis yang prolifik, beliau telah menghasilkan pelbagai karya akademik, termasuk buku dan jurnal. Beliau memulakan penulisan dalam majalah dan akhbar, dan salah satu platform pertama beliau adalah Majalah Pengasuh, yang diterbitkan oleh Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Beliau telah menyumbang artikel ke dalam majalah ini sejak tahun 1968 sehingga 2015, menjadikannya salah seorang penulis yang paling lama berkhidmat dalam sejarah majalah tersebut. Penulisan beliau dalam Pengasuh banyak dipengaruhi oleh persekitaran sosial awal beliau, khususnya melalui pengaruh keluarga dan sistem pendidikan pada peringkat awal. Artikel-artikel yang beliau tulis mencerminkan idealisme awal beliau, yang merangkumi tema-tema fiqh, usul fiqh, dan undang-undang. Sumbangan beliau ini meletakkannya sebaris dengan tokoh-tokoh besar dalam Pengasuh yang juga memberi sumbangan dalam bidang yang sama, seperti Ismail Haji Yusof, Muhammad Bin Che Wok, dan Muhammad Shukri Muhammad. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis bagaimana persekitaran sosial awal Mahmood Zuhdi membentuk pemikirannya dalam bidang fiqh dan memberi impak kepada penulisannya dalam Pengasuh, serta mengenal pasti sumbangannya dalam perkembangan pemikiran fiqh di Malaysia.
Article Details

This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.