Perawi Mubham dalam Abwāb al-Sunnah Sunan Ibn Mājah: Tinjauan terhadap Tradisi Ilmu Hadith
Main Article Content
Abstract
Kajian ini membincangkan perawi mubham dalam tradisi ilmu hadith dengan memberi tumpuan kepada Abwāb al-Sunnah dalam Sunan Ibn Mājah. Perawi mubham merujuk kepada individu dalam rangkaian periwayatan yang identitinya tidak dinyatakan secara jelas, sekali gus menimbulkan kesukaran dalam menentukan ʿadālah perawi dan status sesuatu riwayat. Kajian ini bertujuan meneliti bentuk-bentuk ibhām serta pendekatan pengenalpastian perawi mubham berdasarkan tradisi ilmu hadith. Pendekatan kualitatif digunakan melalui analisis dokumen dan kaedah istiqrāʾ terhadap keseluruhan riwayat dalam Abwāb al-Sunnah. Hasil kajian menemukan 64 kemunculan lafaz mubham dalam 51 hadith daripada keseluruhan 267 riwayat. Bentuk ibhām yang dikenal pasti meliputi sandaran kepada bapa, datuk dan lafaz umum, dengan ʿan abīhi sebagai bentuk paling dominan. Dari sudut ṭabaqah, perawi mubham merangkumi sahabat, tabiʿin, tābiʿū al-tābiʿīn dan generasi selepas mereka. Dapatan turut menunjukkan bahawa ibhām tidak semestinya bersifat mutlak kerana sebahagian lafaz mengandungi qarīnah nasab yang membantu proses taʿyīn. Kajian menyimpulkan bahawa pengenalpastian perawi mubham memerlukan analisis sistematik melalui perbandingan jalur periwayatan, hubungan nasab, ṭabaqah, jaringan guru dan murid serta sumber rijāl, sekali gus memperlihatkan ketelitian metodologi sarjana hadith dalam menilai identiti perawi dan kedudukan sanad.
Article Details

This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.