Metafizik Ṣadr al-Dīn al-Shīrāzī sebagai Kerangka Analitik Ontologi dalam Falsafah Sains

Main Article Content

Nur Syahadah Md Amin
Mohd Syahmir Alias

Abstract

Walaupun sains empirikal berfokus pada pemerhatian dan penjelasan fenomena, setiap teori saintifik tetap beroperasi berdasarkan andaian tertentu tentang perkara yang wujud, cara entiti berkait antara satu sama lain, mekanisme perubahan berlaku dan perkara yang dianggap sebagai dasar realiti. Tradisi falsafah Islam sememangnya mempunyai sumber metafizik yang kaya untuk menangani persoalan tersebut. Namun, konsep-konsepnya lazimnya dikaji sebagai doktrin dalam satu-satu sistem metafizik dan belum banyak direkonstruksi sebagai alat analitik yang dapat digunakan dalam perbincangan falsafah sains kontemporari. Bertitik tolak daripada permasalahan tersebut, makalah ini berhasrat membangunkan suatu kerangka analitik ontologi yang berasaskan sistem al-ḥikmah al-muta‘āliyah oleh Ṣadr al-Dīn al-Shīrāzī atau lebih dikenali sebagai Mullā Ṣadrā (1571-1640). Makalah ini mengabstrakkan fungsi konseptual doktrin dalam sistem Ṣadrā dalam pembinaan kerangka analitik. Dengan menggunakan kaedah analisis konseptual, kerangka analitik ini merangkumkan lima teras ontologi iaitu Kesatuan Asali, Pemartabatan, Penzahiran, Kebergantungan dan Pemeliharaan Dasar Hakikat. Kelima-lima teras tersebut disusun dalam suatu binaan hierarki tiga serangkai yang terdiri daripada Dasar, Pembezaan dan Pemeliharaan. Dengan menjadikan teras-teras tersebut sebagai alat analitik yang boleh diterapkan merentas bidang sains, makalah ini menunjukkan bahawa tradisi falsafah Islam menyediakan sumber konseptual bukan-jauhar yang berpotensi untuk menangani persoalan struktur yang berterusan dalam falsafah sains.

Article Details

How to Cite
Metafizik Ṣadr al-Dīn al-Shīrāzī sebagai Kerangka Analitik Ontologi dalam Falsafah Sains. (2026). International Journal of World Civilizations and Philosophical Studies, 5(5). https://ejournal.usm.my/ijwcps/article/view/7220
Section
Article