Menelusuri Pelbagai Perspektif tentang Kehidupan Awal, Sumbangan dan Pemikiran Hamzah Fansuri
Main Article Content
Abstract
Makalah ini menghimpunkan dan menganalisis perbahasan para sarjana terdahulu dan kontemporari mengenai tempat kelahiran serta kehidupan awal tokoh sufi terkemuka di Nusantara, Hamzah Fansuri. Permasalahan kajian bertitik tolak daripada ketiadaan maklumat bertulis yang jelas mengenai tarikh kelahiran dan kehidupan awal beliau. Keadaan ini mendorong para sarjana seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas, Vladimir Josipovic Braginsky, Gerardus Willebrordus Joannes Drewes, L.F. Brakel, Abdul Hadi Wiji Muthari, dan Alexander Wain untuk membentuk naratif kehidupan awal Hamzah Fansuri berdasarkan karya-karyanya. Bait-bait puisi beliau diteliti dan ditafsir dengan menghubungkannya kepada fakta sejarah bagi memperoleh gambaran mengenai latar kehidupan tokoh tersebut. Justeru, makalah ini bertujuan untuk menelusuri pendekatan dan ketelitian para sarjana dalam meneliti serta mentafsir karya Hamzah Fansuri guna merekonstruksi riwayat hidupnya. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif menerusi analisis dokumen, manakala data dianalisis secara deskriptif. Dapatan menunjukkan bahawa meskipun para sarjana telah melakukan penelitian dan pentafsiran secara mendalam dan cermat, masih belum wujud kesepakatan yang kukuh mengenai kehidupan awal Hamzah Fansuri. Perdebatan ini dijangka berterusan selagi tiada bukti baharu ditemui. Sumbangan ilmiah para sarjana tersebut amat penting untuk dihimpunkan bagi memperkukuh kajian serta memastikan legasi intelektual dan karya agung Hamzah Fansuri terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Article Details

This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.