Pendekatan dan Perkaedahan Pengajaran Kesusasteraan KBSM: Cabaran-cabaran Kepada Guru Kesusasteraan

Main Article Content

Ahmad Othman

Abstract

Reformasi di dalam pendidikan yang telah berlaku di dekad mutakhir telah mengubah tentang falsafah, pendekatan dan kaedah mengajar. Penegasan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang berhasrat mahu "mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan", di samping penggubalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dengan matlamat-matlamat yang amat jitu dan ideal, menuntut pendekatan mengajar dalam mata pelajaran dengan mengutamakan "strategi-strategi pengajaran yang berunsur penyelesaian masalah atau inkuiri untuk membina kemampuan berfikir, menimbang dan membuat keputusan yang saksama". Kalau pada masa dahulu konsep "kaedah mengajar" bermaksud "bagaimana untuk mengajar sesuatu pelajaran terserah kepada guru", maka pada dekad ini kita bertemu dengan konsep "pendekatan mengajar", yakni ia memerlukan jawapan rasional, "mengapa sesuatu perkara diajar?" di samping "mengapakah pendekatan dan kaedah tertentu digunakan?". Amalan pendidikan masa kini berpusat kepada pelajar, bukan berpusat kepada guru. Seiringan dengan pelaksanaan sukatan pelajaran baru yang akan mengambil alih sukatan pelajaran yang lama, ia memerlukan pengorientasian dan penggembelingan semua pihak yang terlibat dengan pendidikan: perancang kurikulum, pensyarah maktab perguruan, bahagian peperiksaan, guru-guru termasuk pengetua dan ibubapa pelajar. Zaman transisi yang gawat dan penuh cabaran begini menuntut persediaan dan kesedaran semua pihak akan tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan oleh masing-masing supaya hasrat murni negara dalam pembentukan identiti bangsa dan ummah menempah kejayaan. Kertas kerja ini cuba membicarakan bagaimana seorang guru mata pelajaran kesusasteraan perlu memperkemaskan diri menghadapi cabaran-cabaran baru Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.

Article Details

Section
Articles