Penerusan Pendidikan Agama Melalui Sekolah Naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), 1942-1976
Main Article Content
Abstract
Kajian ini meneliti penglibatan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam memastikan kelangsungan pendidikan agama di negeri Kelantan. Peranan organisasi negeri tersebut diteliti melalui penglibatan dalam memperkenal dan menguruskan sekolah naungan iaitu sekolah agama rakyat di Kelantan yang berdaftar dengan MAIK yang merupakan penaung bagi sekolah-sekolah tersebut sejak tahun 1942 sehingga penyerahan pentadbiran sekolah kepada Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan pada tahun 1976. Sepanjang tempoh MAIK menguruskan sekolah naungan tersebut jelas memperlihatkan peranan MAIK selaku organisasi agama yang turut bertanggungjawab terhadap kebajikan masyarakat termasuklah pembangunan pendidikan. Meskipun pendidikan agama di Kelantan terpaksa bersaing dengan pendidikan tajaan kolonial dan kerajaan pusat setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, namun menerusi sekolah naungan, MAIK telah melaksanakan pelbagai strategi bagi memastikan sistem pendidikan bukan sahaja berterusan malahan relevan dengan keperluan masyarakat di negeri tersebut. Kajian ini merupakan kajian kualitatif dengan analisis sumber daripada Arkib Negara Malaysia, Perpustakaan Negara dan Muzium MAIK. Kajian ini mendapati bahawa pelbagai strategi telah dilaksanakan oleh MAIK terhadap sekolah naungannya berpandukan kepada amalan pentadbiran berbentuk birokrasi oleh organisasi negeri tersebut. Pembirokrasian yang dilaksanakan MAIK sepanjang mengelola sekolah naungan MAIK menjadi faktor penting kepada kelangsungan pendidikan agama di negeri Kelantan sehinggalah peranan tersebut diserahkan oleh MAIK kepada Jabatan Sekolah-Sekolah Agama Kelantan (JASA) di bawah Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan pada tahun 1976.
Kata kunci: MAIK; sekolah; pendidikan; agama; Kelantan