Isu Penjarahan dan Perdagangan Warisan Kebudayaan Bawah Air di Semenanjung Malaysia (1980-2015)
Main Article Content
Abstract
Artikel ini mengupas tentang isu penjarahan dan perdagangan warisan kebudayaan bawah air di Semenanjung Malaysia dari tahun 1980 sehingga 2005. Sejak tahun 1983 setelah berlakunya insiden penjarahan tapak WKBA Risdam, Malaysia telah giat melaksanakan pelbagai kaedah penyelidikan (ekskavasi dan salvaj komersial) melindungi tapak WKBA di Semenanjung Malaysia. Namun sehingga tahun 2015, kekurangan mekanisme perundangan dan isu keterbatasan sumber yang dihadapi telah menyebabkan Malaysia berdepan dengan isu penjarahan tapak WKBA dan perdagangan artifak WKBA. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah sejarah dan pengajian warisan dalam menjelaskan isu penjarahan WKBA dan perdagangan WKBA dari tempoh 1980 sehingga 2015. Tempoh masa ini diperincikan kepada dua fasa penting iaitu Fasa 1: Jabatan Muzium dan Antikuiti (1980-2005) dan Fasa 2: Jabatan Warisan Negara (2005-2015). Kajian mendapati bahawa terdapat sembilan kes penjarahan yang telah direkodkan. Kes penjarahan ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu penjarahan tapak berskala besar yang didalangi oleh warga asing dan penjarahan tapak berskala kecil yang dilakukan oleh nelayan tempatan dan pelancong selam skuba. Implikasinya pelbagai artifak WKBA telah dijual di pasaran antik secara sah atau sebaliknya. Hal ini berlaku disebabkan oleh kelemahan dari sudut kawalan penguatkuasaan perairan dan ketersediaan pasaran antik yang menjanjikan keuntungan mudah. Hasil kajian mendapati bahawa aspek utama yang mendorong kepada trend penjarahan dan seterusnya perdagangan WKBA adalah kekurangan mekanisme perundangan warisan dan isu keterbatasan sumber yang dihadapi oleh kerajaan dan institusi penyelidikan di Malaysia. Diharap kajian ini dapat memberikan satu pendedahan berkaitan isu penjarahan tapak WKBA dan isu perdagangan artifak WKBA di Semenanjung Malaysia.
Kata kunci: penjarahan; perdagangan WKBA; Warisan Kebudayaan Bawah Air