Reaksi Malaysia dan Thailand Terhadap Krisis Pelarian Indochina, 1975-1990

Main Article Content

Dunita Nabila A Rahimin

Abstract

Kejatuhan Saigon, Phnom Penh, dan Vientiane ke tangan Komunis pada tahun 1975, telah menyaksikan berlakunya krisis kemasukan beramai-ramai pelarian Indochina ke negara-negara Asia Tenggara. Keadaan ini semakin buruk dengan pencerobohan tentera Vietnam ke Kemboja pada tahun 1978. Konflik Kemboja yang berterusan ini menyebabkan berlakunya peningkatan pelarian Indochina yang mendadak sehingga menjadikan negara-negara seperti Thailand dan Malaysia sebagai negara tertinggi menerima pelarian Indochina. Kedatangan pelarian Indochina ini menyebabkan Malaysia dan Thailand berhadapan dengan cabaran yang besar dalam menguruskan hal ehwal pelarian Indochina. Makalah ini mempunyai dua objektif utama iaitu; mengkaji apakah bentuk cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dan Thailand ketika krisis pelarian Indochina ini berlaku dan yang kedua, menilai pendekatan yang diambil oleh kedua-dua negara ini dalam mengendalikan krisis ini. Dalam mencapai kedua-dua objektif ini, kaedah kualitatif digunakan dengan cara menganalisis sumber primer seperti dokumen arkib dan laporan akhbar dalam menghasilkan perbincangan yang lebih objektif. Bahan sekunder yang berautoritatif seperti tesis, buku, dan artikel jurnal turut digunakan bagi melengkapkan kajian ini. Hasil kajian ini mendapati bahawa terdapat persamaan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dan Thailand ketika krisis ini berlaku. Namun, terdapat sedikit perbezaan dalam pendekatan yang diambil oleh kedua-dua negara ini. Malaysia dilihat mengutamakan pelarian orang Islam Cham Kemboja dengan memberikan penempatan kekal kepada mereka. Sebaliknya, pelarian bot Vietnam tetap dipindahkan ke negara ketiga walaupun mereka diberikan bantuan pada peringkat awal. Hal ini berbeza dengan Thailand yang membantu semua lapisan bangsa pelarian Indochina dan membenarkan penempatan kekal melalui kaedah tertentu. Makalah ini menyimpulkan bahawa walaupun Malaysia dan Thailand menghadapi cabaran yang sama tetapi reaksi antara kedua-dua negara agak berbeza kerana perbezaan dasar dan kepentingan negara yang tersendiri.


Kata kunci: Krisis Pelarian Indochina, Konflik Kemboja, Malaysia, Thailand

Article Details

How to Cite
Reaksi Malaysia dan Thailand Terhadap Krisis Pelarian Indochina, 1975-1990. (2024). MINDEN Journal of History and Archaeology, 1(1), 86-104. https://ejournal.usm.my/mjha/article/view/4883
Section
Articles