Tunku Abdul Rahman: Tindakan Pencetus Peristiwa 13 Mei 1969
Main Article Content
Abstract
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan sebuah peristiwa yang sangat signifikan dalam perjalanan negara Malaysia. Peranan British sejak awal penjajahan telah memulakan pelbagai masalah terhadap masyarakat Tanah Melayu. Ini ditambah lagi dengan dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan telah mewujudkan kesenjangan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Tanah Melayu. Upaya meneliti asbab terhadap peristiwa ini, sosok tubuh tokoh yang menjadi antara watak utama ketika itu antaranya Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak serta beberapa tokoh lain yang menjadi tonggak kepada pemulihan selepas daripada peristiwa itu. Penulisan ini akan melihat sejauh mana peranan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu dalam mencetuskan peristiwa ini. Bagi sesetengah ahli sejarah, peristiwa ini berlaku disebabkan oleh isu perkauman dan juga beberapa isu yang berlaku beberapa hari sebelum 13 Mei seperti Pilihanraya Umum 1969, provokasi kaum dan sebagainya. Naratif ini telah dipegang oleh kebanyakan masyarakat umum serta ahli sarjana. Penggunaan kaedah penelitian dokumen Pejabat Kolonial (CO) dan beberapa memoir memperlihatkan bagaimana permulaan kepada bibit ketegangan ini berlangsung sejak awal lagi melibatkan tindak tanduk dari politik yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri pada ketika itu. Tindakan atau keputusan politik yang dilakukan oleh beliau telah memburukkan lagi bibit perpecahan dalam masyarakat Tanah Melayu yang telah berlaku sejak zaman penjajahan British. Ini seterusnya menyaksikan berlakunya peristiwa berdarah yang menjadi satu titik hitam dalam perjalanan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Penulisan ini diharapkan dapat mencambahkan lagi perbincangan tentang faktor awal yang menyebabkan peristiwa itu berlaku.
Kata kunci: 13 Mei 1969, Tunku Abdul Rahman, politik