Peranan MMi Care Association dalam Pembangunan Keperibadian dan Keprofesionalan Wanita Muda India di Malaysia, 2000-2010a di Malaysia, 2000-2010
Main Article Content
Abstract
Pertubuhan-pertubuhan bantu mandiri wanita muncul sebagai aktor sosial atau sebagai agen yang aktif dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan gender dan hak wanita. Artikel ini bertujuan untuk mengkaji peranan pertubuhan MMi Care Association yang ditubuhkan pada tahun 2003, sebuah pertubuhan bantu mandiri yang ditubuhkan khas untuk membawa perubahan dalam diri serta perwatakan wanita India terutamanya gadis-gadis muda India dalam lingkungan umur 17 hingga 30 tahun. Terdapat beberapa isu yang telah dikenal pasti yang menjadi penghalang kepada wanita muda India mengorak langkah ke hadapan. Isu-isu seperti warna kulit, isu agama dan bahasa, masalah seksual, kehamilan zaman remaja, peningkatan kes perceraian dan ibu tunggal menjadi kekangan kejayaan wanita India di Malaysia. Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji peranan yang telah dimainkan oleh MMi Care Association dalam pembangunan keperibadian dan keprofesionalan wanita muda India di Malaysia. Kajian ini juga akan menilai keberkesanan program yang telah dijalankan serta menganalisis masalah, kekangan serta cabaran yang telah mereka lalui sepanjang tempoh perancangan dan perlaksanaan inisiatif-inisiatif ini. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah pendekatan kualitatif dan sejarah lisan. Pendekatan sejarah lisan digunakan bagi mengutip memori dan pengalaman peribadi mereka yang telah terlibat secara langsung dalam pertubuhan bantu mandiri ini. Dapatan kajian mendapati usaha-usaha yang dilakukan oleh MMi Care Association merupakan satu pendekatan jangka panjang ke arah memperkaya budaya dan penampilan moden wanita India kurun ke-21. Pertubuhan ini menggalakkan pembangunan dari aspek keyakinan diri, penghargaan kendiri, kemampuan bersaing, sensitif terhadap budaya dan akhir sekali keinginan untuk membantu wanita muda India yang lain di negara ini.
Kata Kunci: MMi Care Association, penindasan, sejarah lisan, keprofesionalan, keperibadian