Ketepatan Sejarah dalam Sastera: Analisis Pensejarahan dalam Novel Sandera oleh Arenawati
Main Article Content
Abstract
Kajian ini menganalisis novel Sandera, sebuah karya sastera berunsur sejarah, menggunakan metodologi Analisis Konteks Sejarah untuk memahami cara latar belakang sejarah, sosial, politik, ekonomi, dan budaya mempengaruhi naratifnya. Analisis mendalam ini merangkumi pendekatan historis, ideologi, dan pascakolonial, yang memberikan perspektif kritikal terhadap peristiwa sejarah dan hubungannya dengan naratif fiksyen. Penulis novel ini berjaya menggabungkan unsur-unsur sejarah untuk bukan sahaja menceritakan peristiwa penting, tetapi juga untuk mencerminkan realiti sosial dan politik zaman tersebut. Dengan watak-watak berlapis dan penuh konflik, penulis mengangkat tema seperti perjuangan ideologi serta dinamika hubungan politik pasca-Perang Dunia Kedua. Novel ini juga menekankan dilema dan ketegangan politik antara nasionalisme kiri dan kanan, sambil mencabar naratif sejarah dominan yang sering kali berat sebelah dan meminggirkan golongan kiri dan agama. Melalui naratif yang kritis dan inklusif, Sandera mengungkapkan realiti sejarah secara mendalam, mengkritik manipulasi kebenaran oleh pihak tertentu, dan menyeru pembaca untuk mempertimbangkan semula pandangan mereka terhadap sejarah. Kajian ini mendapati bahawa karya ini bukan sahaja menghidupkan peristiwa sejarah tetapi juga memperkayakan pemahaman tentang persoalan perjuangan kemerdekaan dan kebebasan yang juga dilihat dalam konteks yang lebih luas, termasuk pembebasan sosial dan pemikiran.
Kata kunci: Sastera-sejarah, kajian novel, Arenawati, Sandera