Keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) di Negeri Sembilan Semasa Darurat: Suatu Tinjauan Berdasarkan Laporan Akhbar
Main Article Content
Abstract
Pengisytiharan darurat pada 16 Jun 1948 oleh kerajaan British di Tanah Melayu sering dikaitkan dengan siri keganasan yang dicetuskan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Pemberontakan bersenjata yang dikepalai oleh PKM telah dilancarkan di seluruh Semenanjung Tanah Melayu bagi menjayakan matlamatnya untuk menubuhkan sebuah Republik Demokratik berideologikan komunis di Tanah Melayu. Dalam usaha PKM untuk mencapai tujuan tersebut, pelbagai insiden keganasan dan jenayah yang melibatkan jumlah kecederaan serta kematian yang tinggi dilaporkan berlaku. Perkara yang serupa turut direkodkan berlaku di Negeri Sembilan apabila dicatatkan rentetan siri serangan yang berlaku sehingga meninggalkan impak yang besar terhadap kehidupan seharian masyarakat. Justeru, kajian ini bertujuan untuk meneliti dan merangkumkan peristiwa serangan serta keganasan yang dipelopori oleh PKM semasa era darurat di Negeri Sembilan. Bagi melengkapkan kajian ini, kaedah kualitatif telah digunakan melalui kaedah kepustakaan dengan tertumpu kepada laporan akhbar yang dirujuk secara dalam talian di National Library Board Singapore dan National Library of Australia. Penganalisisan secara deskriptif turut dijalankan melalui pendekatan historiografi. Hasil kajian membuktikan bahawa sememangnya PKM bertanggungjawab terhadap kejadian serangan yang berlaku di Negeri Sembilan apabila ramai orang awam, anggota keselamatan dan pelombong serta peladang getah yang menjadi mangsa keganasan PKM.
Kata kunci: Parti Komunis Malaya (PKM), darurat, Negeri Sembilan, Tanah Melayu, keganasan