Pertempuran Slim River 1942: Kepentingan Strategik Tentera British dalam Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu
Main Article Content
Abstract
‘Pertempuran Slim River’ yang berlaku pada 7 Januari 1942 merupakan salah satu bencana terburuk tentera British dalam Kempen Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu. Dalam masa yang begitu singkat iaitu kira-kira lima jam sahaja, Divisyen India ke-11 yang terdiri daripada Briged India ke-12 dan 28 telah berjaya dikucar-kacirkan oleh sepasukan kecil tentera Jepun yang hanya terdiri daripada 20 buah kereta kebal dan kira-kira 100 orang tentera infantri. Lebih tragik, tujuh orang pemerintah batalion tentera terbunuh manakala ribuan tentera British yang lain pula berselerakan terperangkap dalam hutan belantara dan akhirnya menjadi tawanan perang Jepun. Pertempuran ini seterusnya menjadi kunci yang membuka kepada kejatuhan Kuala Lumpur pada 11 Januari 1942. Maka itu, Pertempuran Slim River ini begitu penting dalam memberikan pemahaman lanjut mengenai sejarah Perang Dunia Kedua di negara kita. Menerusi kaedah penyelidikan kualitatif, perbincangan artikel ini akan menyingkap semula peristiwa berdarah dalam konflik di Tanah Melayu tersebut secara terperinci daripada sumber tentera British, India dan Jepun dan juga sejarah lisan penduduk setempat yang terlibat. Berdasarkan kepelbagaian sumber tersebut, sejarah konflik Peperangan Dunia Kedua di Tanah Melayu ini akan diperihalkan secara kronologi. Artikel ini akan menilai dan membahaskan pendapat tentang kepentingan ‘Pertempuran Slim River’ dalam strategi ketenteraan British mempertahankan Singapura, kubu terkuat di Timur Jauh. Selain daripada itu, artikel ini membincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi kekalahan teruk dalam malapetaka Pertempuran Slim River tersebut. Akhir daripada penulisan ini, Pertempuran Slim River ini jelas menjadi satu bukti kepada keberkesanan ketenteraan British yang menemui kegagalan dalam kempen peperangan di Tanah Melayu.
Kata kunci: Perang Dunia Kedua; Pendudukan Jepun; Slim River; sejarah ketenteraan