Pemberontakan Brunei 1962: Peranan Pengaruh Luaran Terhadap Gerakan Subversif Parti Rakyat Brunei
Main Article Content
Abstract
Kajian ini meneliti pengaruh Sarawak Communist Organization (SCO) dalam Pemberontakan Brunei 1962. Pemberontakan tersebut berkait rapat dengan arus anti-kolonialisme serantau, khususnya melalui perkongsian ideologi dan sokongan luar dari Brunei, Indonesia, dan Filipina. Pada peringkat awal, kerjasama SCO dengan pihak luar menyediakan asas penting bagi strategi pemberontakan yang digerakkan oleh Parti Rakyat Brunei (PRB). Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif berasaskan sumber arkib dan perpustakaan, termasuk bahan daripada Arkib Negara Cawangan Sarawak, Pustaka Negeri Sarawak, Repositori Arkib Negeri Sarawak, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, serta Perpustakaan Hamzah Sendut. Data yang diperoleh dianalisis secara naratif dengan penekanan terhadap aspek sebab dan akibat. Hasil kajian menunjukkan bahawa, walaupun sokongan awal daripada pihak luar meningkatkan keyakinan PRB untuk melancarkan strategi bersenjata dan memperkukuhkan gerakan subversif berorientasikan komunisme, pemberontakan tersebut akhirnya gagal. Kekurangan sokongan domestik dan merosotnya pengaruh luar menyebabkan kemerosotan karier politik PRB, menunjukkan bahawa strategi subversif yang dijalankan tidak berhasil dan kehilangan legitimasi dalam kalangan rakyat Brunei.
Kata kunci: Sarawak Communist Organization; Parti Rakyat Brunei; Pemberontakan 1962; Komunisme; anti-kolonialisme