Naratif Baharu: Revisionisme dan Sejarah Melayu
Main Article Content
Abstract
Kajian ini meneliti peranan aliran revisionis dalam membentuk naratif baharu sejarah Melayu sebagai satu usaha ilmiah untuk menilai semula historiografi yang sekian lama dibentuk oleh warisan kolonial dan perspektif Eropah-sentrik. Sejak era penjajahan, penulisan sejarah tempatan banyak dipengaruhi oleh tafsiran orientalis yang menekankan kepentingan kolonial, meletakkan Eropah sebagai ukuran kemajuan, dan menenggelamkan suara masyarakat peribumi serta kelompok yang dianggap mencabar kuasa penjajah, termasuk nasionalis kiri dan nasionalis berorientasikan agama. Dalam konteks ini, revisionisme muncul sebagai pendekatan kritikal untuk meneliti semula tafsiran sejarah arus perdana berdasarkan bukti-bukti baharu, termasuk dokumen arkib British seperti Colonial Office. Pendekatan ini berperanan menyaring naratif penjajah dan mengembalikan keadilan sejarah kepada kelompok terpinggir, khususnya masyarakat peribumi yang mengalami penjajahan secara langsung. Melalui revisionisme, sejarah Melayu dapat ditulis semula secara lebih tepat, adil dan berpaksikan perspektif peribumi. Sehubungan itu, pendekatan revisionis merangkumi tiga proses analisis utama. Pertama, “membaca dengan melawan arus,” iaitu menganalisis sejarah berdasarkan logik dan rasionaliti sambil menilai perspektif peribumi. Kedua, makna-makna dalam sejarah yang telah ditentukan oleh kolonial didekonstruksi untuk menghasilkan tafsiran berpaksikan perspektif peribumi. Ketiga, naratif baharu dihasilkan melalui rekonstruksi tafsiran arus perdana berdasarkan makna-makna baharu tersebut. Kajian ini menegaskan bahawa revisionisme bukanlah usaha untuk memutarbelitkan sejarah, tetapi merupakan proses ilmiah untuk membetulkan persepsi yang dibentuk oleh warisan kolonial, ideologi, dan kepentingan politik tertentu. Kesimpulannya, aliran revisionis memainkan peranan penting dalam memperkukuh disiplin sejarah Malaysia dengan membebaskan historiografi tempatan daripada dominasi kolonial dan Eropah-sentrik. Aliran ini juga berpotensi menghasilkan naratif baharu yang lebih seimbang, berasaskan sumber dan berpaksikan penyelidikan akademik.
Kata kunci: revisionisme; revisionis; naratif baharu; historiografi kolonial; perspektif peribumi