Perkembangan Gabungan Politik di Tanah Melayu, 1947–1974: Analisis Faktor, Isu dan Keberkesanan terhadap Landskap Politik

Main Article Content

Muhammad Naim Fakhirin Rezani

Abstract

Kajian ini membincangkan perkembangan gabungan politik di Tanah Melayu dalam tempoh 1947 hingga 1974 dengan memberi tumpuan kepada faktor pembentukan, isu serta cabaran dan keberkesanannya terhadap landskap politik. Tempoh tersebut merupakan fasa kritikal yang menyaksikan peralihan daripada kerjasama politik bersifat pragmatik kepada gabungan politik oleh All-Malayan Council Joint Action (AMCJA)-Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), Parti Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional (BN). Justeru, objektif kajian ini adalah untuk menganalisis perkembangan gabungan politik di Tanah Melayu antara 1947 hingga 1974 dengan meneliti faktor pembentukan, isu serta cabaran yang dihadapi, dan keberkesanannya dalam membentuk landskap politik negara. Berdasarkan pendekatan kualitatif, kajian ini menganalisis dokumen arkib, dokumen rasmi, laporan kerajaan serta dokumen parti politik bagi memahami kepelbagaian gabungan dalam konteks peralihan kolonial ke pascakolonial. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pembentukan gabungan politik didorong oleh keperluan kestabilan politik, pengurusan kepelbagaian etnik, tekanan pentadbiran kolonial, serta strategi elit politik dalam menghadapi persaingan ideologi dan pilihan raya. Walau bagaimanapun, kajian ini turut mendapati bahawa gabungan politik awal berdepan pelbagai isu dalaman, termasuk ketidakseimbangan kuasa antara parti komponen, konflik kepentingan etnik, dan keterbatasan mekanisme pengurusan konflik. Dari sudut keberkesanan, gabungan politik berjaya mengekalkan kestabilan politik dan membentuk sistem kepartian dominan, namun pada masa yang sama menyumbang kepada pengecilan ruang persaingan politik dan pengukuhan dominasi elit. Kajian ini menyumbang kepada literatur politik Malaysia dengan menawarkan penilaian kritikal terhadap gabungan politik awal, sekali gus memperluas pemahaman tentang implikasi jangka panjang model politik gabungan dalam konteks negara pascakolonial.


Kata kunci: Gabungan politik, Perikatan, Barisan Nasional, Tanah Melayu, politik pascakolonial

Article Details

How to Cite
Perkembangan Gabungan Politik di Tanah Melayu, 1947–1974: Analisis Faktor, Isu dan Keberkesanan terhadap Landskap Politik. (2026). MINDEN Journal of History and Archaeology, 3(1), 85-100. https://ejournal.usm.my/mjha/article/view/6002
Section
Articles