150 Tahun Pembunuhan J.W.W. Birch: Satu Penelitian terhadap Hubungan antara Ngah Ibrahim dengan J.W.W. Birch
Main Article Content
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk memfokuskan hubungan antara Ngah Ibrahim dan J.W.W. Birch. Dalam menelusuri sejarah negeri Perak kira-kira 150 tahun lalu, nama Ngah Ibrahim dan Birch tidak dapat dipisahkan serta amat sinonim dengan sejarah kebangkitan menentang British di tanah air. Namun, masih kurang kajian khusus untuk menilai hubungan antara kedua-dua personaliti sejarah negeri Perak sejak termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 sehingga tercetusnya pembunuhan Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875. Kajian ini dilaksanakan dengan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif yang meliputi penggunaan sumber primer seperti rekod-rekod kolonial seperti Journals of J.W.W. Birch, Colonial Offices dan sumber sekunder seperti kajian lepas oleh Abdullah Zakaria Ghazali, Khoo Kay Kim dan Mohd Zamberi Malek. Hasil kajian ini menunjukkan latar belakang Ngah Ibrahim yang terkenal dalam kalangan pentadbir kolonial barat hingga dikenali sebagai ‘Raja Larut’ dan ‘Menteri Larut’. Seterusnya, perbincangan akan meneroka hubungan antara Ngah Ibrahim dengan J.W.W. Birch melalui penilaian terhadap sudut pandangan Birch terhadap pembesar Melayu Perak tersebut serta faktor-faktor yang mencetuskan kebangkitan menentang British yang dipelopori oleh Ngah Ibrahim sendiri.
Kata kunci: Ngah Ibrahim, J.W.W. Birch, Perjanjian Pangkor, Perang Perak dan Larut.