Abstract
Negara Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Hal ini menyebabkan negara tidak pernah lari daripada isu-isu konflik yang melibatkan kaum dan agama. Konflik yang berlaku ini semakin meruncing dengan adanya media massa yang turut memainkan peranan dalam melaporkan dan membingkaikan sesuatu isu itu. Portal berita yang semakin banyak digunakan di Malaysia menambah lagi wacana yang berlaku di portal berita. Masyarakat kini lebih banyak menggunakan portal berita memandangkan ia lebih cepat dan mudah untuk diakses. Dalam kajian ini, kajian kes yang dipilih untuk dikaji adalah isu penukaran agama unilateral anak-anak kepada Loh Siew Hong yang rancak dibincangkan di media Malaysia. Sangat signifikan untuk dilakukan kajian bagaimana portal berita arus perdana dan alternatif membingkai isu ini memandangkan ia melibatkan isu sensitif lebih-lebih di sebuah negara yang majoritinya Islam. Dengan menggunakan pendekatan analisis kandungan kualitatif dan kuantitatif, kajian ini mendapati portal berita The Star Online dan Malaysiakini membingkai isu ini dengan menggunakan bingkai minat manusia dan konflik dengan lebih dominan. Walaupun kedua-dua portal berita ini menggunakan bingkai yang sama, namun cara pelaporan kedua-dua portal berita berlainan dan terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi pelaporan ini yang telah dibincangkan dalam kajian ini.