Faktor Kepercayaan dan Sikap Terhadap Periklanan Kosmetik di Facebook dan Hubungannya Terhadap Niat Pembelian
pdf

Keywords

Faktor kepercayaan
Facebook
Sikap
Niat Pembelian
Iklan Produk Kosmetik

Abstract

Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti faktor kepercayaan mahasiswa-mahasiswi Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap iklan kosmetik di Facebook, menilai hubungan antara faktor kepercayaan dengan sikap mahasiswa terhadap iklan produk kosmetik di Facebook serta hubungan antara sikap dengan niat pembelian produk kosmetik. Skop kajian berfokuskan mahasiswa-mahasiswi USM yang merupakan pengguna kosmetik dan berusia kurang daripada 20 tahun, 20-25 tahun serta melebihi 25 tahun. Perspektif teoretikal yang diguna pakai dalam kajian ini ialah Teori Tindakan Bersebab (TRA). Kaedah tinjauan dalam kajian ini menggunakan borang soal selidik atas talian berbentuk Google Form untuk mengumpul data daripada 80 orang responden menerusi teknik persampelan bertujuan, iaitu kaedah persampelan berantai. Hasil kajian mendapati faktor memberi informasi produk sebagai faktor kepercayaan mahasiswa terhadap iklan kosmetik di Facebook yang mencapai tahap kepercayaan paling tinggi. Analisis statistik korelasi menunjukkan kewujudan hubungan signifikan dan positif antara semua faktor kepercayaan yang dikaji (faktor memberi informasi produk, faktor keseronokan/hedonik, faktor kebolehpercayaan serta faktor imej dan peranan sosial) melainkan faktor kebendaan. Selain itu, sikap mahasiswa terhadap iklan kosmetik di Facebook juga memaparkan hubungan yang signifikan dan positif dengan niat pembelian produk kosmetik.

pdf